Mesin
penapis air yang mempunyai fungsi pemanas dan penyejuk dikenal pasti menjadi
antara punca bil elektrik tinggi terutamanya ketika cuaca panas yang sedang
melanda negara.
Ketua
Retail Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor Ismail Lathifi Teh berkata
peralatan elektrik yang mempunyai fungsi sedemikian seperti peti sejuk dan alat
penyaman udara dan kini penapis air minuman menggunakan tenaga elektrik yang
banyak untuk mengekalkan suhu berkenaan terutamanya ketika cuaca panas.
“Pada
cuaca panas seperti sekarang ini, mesin yang mempunyai kompresor akan
menggunakan tenaga yang lebih banyak untuk mengekalkan suhu.
“Jadi
lebih kerap kita membuka pintu peti sejuk dan lebih kerap kita mengambil air
sejuk daripada penapis air di rumah, lagi banyak tenaga elektrik yang akan
digunakan oleh peralatan berkenaan bagi mengekalkan suhu sejuk,” katanya kepada
Bernama di sini hari ini.
Beliau
berkata contohnya, jika tangki penapis minuman yang menyimpan air sejuk habis
ia akan diisi dengan air yang baharu dan kompresor akan berfungsi untuk
menyejukkan air berkenaan.
Ismail
Lathifi berkata jika lebih banyak isian semula berlaku, lebih kerap kompresor
berkenaan berfungsi dan ini akan menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik.
Tips Jimat Elektrik
Dalam
pada itu, Ismail Lathifi turut menasihati pengguna agar menetapkan pemasa pada
alat penyaman udara masing-masing selain menetapkan suhu antara 24 hingga 26
darjah Celcius sahaja bagi menjimatkan penggunaan elektrik.
“Pengguna digalakkan menggunakan pemasa yang ada pada penyaman udara masing-masing dan menetapkan agar ia ditutup pada awal pagi kira-kira pukul 2 pagi dan ke atas kerana ketika itu cuaca mulai sejuk dan memasang kipas untuk mengekalkan suhu sejuk di dalam rumah,” katanya.
Ismail Lathifi turut menyarankan kepada pengguna agar melakukan servis terhadap penyaman udara secara berkala agar ia dapat berfungsi dengan lebih efisien dan jimat.
“Saya dapat aduan yang mengatakan mereka (pengguna) tidak menggunakan penyaman udara tetapi kenapa bil elektrik tinggi dan melambung, mereka lupa bahawa barang elektrik lain juga menggunakan elektrik,” katanya lagi.
Sumber : Bernama