Terdapat banyak tempat-tempat percutian yang menarik di negeri Perak. Kalau sebut je Lata Kinjang kebanyakkan orang sudah tahu tentang keindahan air terjunnya. Ia merupakan satu tempat perkelahan menarik yang sudah tentu tidak asing terutama bagi penduduk Chenderiang iaitu Taman Eko-Rimba Lata Kinjang.
Buat pengguna Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS) yang melalui kawasan Tapah, Perak semestinya pernah melihat air terjun tinggi yang kelihatan dari kejauhan di Banjaran Titiwangsa. Namun tidak semuanya tahu bahawa itulah air terjun terkenal Lata Kinjang. Taman Eko Rimba Lata Kinjang terletak di Chenderiang, kira-kira 18 kilometer dari pekan Tapah, Perak. Jika anda dari Kuala Lumpur, perjalanan berkereta melalui Lebuhraya Utara-Selatan, kemudian susur keluar ke Tapah mengambil masa lebih kurang dua jam untuk sampai dengan jarak lebih kurang 200 kilometer.
Menarik mengenai Air Terjun Lata Kinjang ini ialah ianya diiktiraf sebagai diantara air terjun paling tinggi di Asia Tenggara, dengan ketinggian melebihi 850 meter dan untuk pengetahuan anda, yang paling tinggi adalah Air Terjun Jelawang di Gunung Stong. Air Terjun Lata Kinjang sentiasa menjadi tumpuan pengunjung di setiap hari cuti, terutama apabila musim cuti persekolahan tiba. Ramai pengunjung luar negara yang turut datang ke sini untuk meikmati keindahan air terjun dan kehijauan hutan Malaysia yang tidak terdapat di negara mereka. Menurut cerita masyarakat tempatan, Lata Kinjang mendapat nama kerana pada masa dahulu terdapat banyak kijang di kawasan itu. Orang lnggeris yang memburu kijang menyebut nama haiwan itu sebagai “kinjang”, lalu nama itu kekal hingga sekarang. Keindahan kawasan ini menarik jiwa yang mencari ketenangan di tengah kehijauan hutan yang menghijau. Kawasan ini juga sering menjadi lokasi bagi penggambaran filem dan drama.
Terdapat lagenda yang dipercayai oleh masyarakat tempatan, bahawa seorang wanita cantik yang dipercayai puteri bunian pernah menjelma di kawasan air terjun itu sehingga menarik perhatian seorang hartawan lnggeris dan membuatkan beliau bercita-cita ingin mengahwini puteri itu. Dikatakan hartawan lnggeris telah membina sebuah banglo ditingkat satu air terjun dan membina tangga batu dari bawah hingga ke puncak air terjun untuk melihat sendiri puteri bunian itu.
Namun setelah lama menunggu, puteri bunian tidak juga muncul dan menyebabkan beliau berasa kecewa lalu pulang ke negara asalnya di Eropah. Banglo yang dibina rosak sedikit demi sedikit. Puteri bunian yang disifatkan sebagai penunggu air terjun hanya menunjukkan dirinya beberapa minit sahaja kerana dia tidak mahu identitinya dikenali oleh manusia biasa. Cerita tentang puteri bunian hanya lagenda yang disampaikan dari mulut ke mulut, oleh generasi dahulu hinggalah sekarang.
Ini bukan misteri manusia berkepala kartun ye =P
Juga terdapat serumpun pokok buluh perindu dikawasan air terjun tersebut yang hanya boleh diambil oleh orang-orang tertentu sahaja. Pernah juga ada suara dan cerita sumbang yang menyatakan Seniman Agung Tanah Air, Allahyarham P. Ramlee memiliki buluh perindu yang diambil dari Lata Kinjang untuk memerdukan suaranya. Di kawasan air terjun itu juga terdapat banyak kambing gurun, tetapi sukar diperangkap. Di tingkat tiga air terjun terdapat kesan tapak kaki kijang dan harimau akar yang dipercayai disumpah oleh sang kelembai menjadi batu. Sang kelembai sejenis makhluk sakti dalam mitos cerita rakyat Malaysia. Dikatakan pada zaman dahulu, sang kelembai sering mengunjungi Lata Kinjang pada waktu petang. Penduduk di situ sangat takut kerana sang kelembai suka menyumpah dan apa-apa yang disumpah akan menjadi batu. Di kawasan air terjun itu juga terdapat kesan kubur anak sang kelembai yang sudah menjadi batu. Terdapat juga batu berbentuk bekas tapak kaki kelembai dan lesung menumpuk padi.
Berhampiran kawasan air terjun juga terdapat sebuah perkampungan Orang Asli dan mereka telah lama mendiami perkampungan tersebut. Selain mandi-manda, pengunjung boleh menyusuri tebing untuk ke bahagian atas air terjun. Terdapat anak tangga, namun pengunjung mesti berhati-hati kerana anak-anak tangga itu licin. Pengunjung akan berasa puas menikmati keindahan alam yang hijau sambil mendengar bunyi unggas rimba. Mandilah sepuas-puasnya dalam kolam yang terbentuk pada setiap aras air terjun. Berendam dalam airnya yang sejuk sungguh menyegarkan, terutama pada hari yang bercuaca panas. Turut terdapat beberapa buah pondok telah disediakan untuk pengunjung berehat. Jika pengunjung ingin berkhemah atau menjelajah hutan, minta kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perak. Pelbagai kemudahan disediakan di kawasan Air Terjun Lata Kinjang. Selain surau dan tandas awam, terdapat gerai menjual makanan, minuman dan kedai cenderamata.
Jika dari Lebuh Raya Utara – Selatan (Plus), keluar dari Tol Tapah dan melalui sedikit pekan Tapah. Kemudian ambil jalan lama ke arah Chenderiang. Lata Kinjang terletak hanya kira-kira 17 km dari Pekan Tapah. Kadar masuk ke Taman Eko-Rimba Lata Kinjang seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak ialah RM2.00 bagi orang dewasa 18 tahun keatas, RM1.00 buat warga emas, RM1.00 buat kanak-kanak bawah 18 tahun, RM5.00 buat warga asing dan percuma untuk kanak-kanak bawah 3 tahun.
Sumber Artikel : © orangperak.com
Jika dari Lebuh Raya Utara – Selatan (Plus), keluar dari Tol Tapah dan melalui sedikit pekan Tapah. Kemudian ambil jalan lama ke arah Chenderiang. Lata Kinjang terletak hanya kira-kira 17 km dari Pekan Tapah. Kadar masuk ke Taman Eko-Rimba Lata Kinjang seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak ialah RM2.00 bagi orang dewasa 18 tahun keatas, RM1.00 buat warga emas, RM1.00 buat kanak-kanak bawah 18 tahun, RM5.00 buat warga asing dan percuma untuk kanak-kanak bawah 3 tahun.
Sumber Artikel : © orangperak.com